SUARA MASJID AL-AZIM


HUBUNGAN SESAMA ISLAM

Maksud Hadis Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.w.t. bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berbenci-bencian, dan janganlah kamu berbelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hai hamba Allah bersaudara."

Orang Islam bersaudara orang Islam,tiada boleh ia menganiayanya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya.

Taqwa itu di sini kata nabi , sambil menunjuk dadanya tiga kali. Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam ke atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya. Diriwayatkan oleh Muslim.

SYARAHANNYA :

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah. Selain Muslim lagi hadis-hadis riwayat yang lain daripadanya yang di antara kandungannya ada sebagaimana yang diterangkan dalam hadis tersebut.

NILAINYA :

Hadis ini mengandungi nilai utama dalam soal persaudaraan Islam, di mana ditegaskan secara perintah akan larangan-larangannya yang tiada boleh dilanggar demi untuk pemeliharaan suasana persaudraan itu.

Perkara yang mengenal hubungan di antara orang Islam :

1. Beberapa Perintah Larangan

Pada hadis tersebut Rasullah ada menerangkan perkara yang mengenai hubungan di antara orang Islam. Untuk memelihara hubungan ini ditegaskan beberapa perintah yang merupakan larangan yang wajib dipatuhi ; iaitu janganlah kamu berdengki-dengkian di antara sama sendiri. Kerana dengan dengki atau hasad menyebabkan terputusnya hubungan.

Dengki ialah satu perasaan jiwa yang timbulnya perasaan itu pada seseorang oleh kegelisahannya memandang kelebihan yang ada pada orang lain atau oleh kebenciannya melihat ada orang yang melebihinya dalam sesuatu perkara atau keadaan.

Orang yang dengki atau hasad selamanya gelisah, jiwanya tidak tenteram , kerana ini dia berusaha untuk menghilangkan suatu kelebihan yang ada pada orang lain dengan perkataannya atau dengan perbuatannya dan berikhtiar untuk memindah sesuatu kelebihan yang ada pada orang lain itu kepada dirinya sendiri. Dan ada pula orang yang dengki itu berusaha untuk menghilang atau mencedera suatu kelebihan dari orang yang mempunyai semata-mata kebencian yang melulu, kerana dia sendiri tidak berhajat kelebihan itu untuk dirinya. Kedua macam kedengkian tersebut adalah tercela dan inilah perasaan kedengkian yang sejahat-jahatnya yang pernah digunakan oleh Iblis terhadap nabi Allah Adam a.s sehingga baginda dikeluarkan dari tempat kediamannya dalam syurga.

Sementara itu ada pula sejenis perasaan dengki atau hasad yang terbunuh dalam jiwa seseorang, tetapi dia berdiam diri, tidak ada usahanya yang jahat sama ada dengan perkataannya mahupun dengan perbuatannya untuk menumpas suatu kelebihan orang lain. Hasad seperti ini diharap tiada menyebabkan dosa, sebagaimana sabda Rasul yang bermaksud :

"Tiap-tiap anak Adam ada hasadnya, dan tiada mendatangkan kemudaratan kepada orang hasad oleh hasadnya selama ia tiada pernah bercakap lidah atau berbuat dengan tangan."

Seterusnya ada lagi sejenis perasaan hasad yang terbunuh dalam jiwa tetapi segera dilenyapkan serta ditumbuhkan perasaan cinta kepada orang yang mendapat kelebihan dan didoa supaya ia dalam selamat dan sejahtera. Inilah satu-satunya perasaan yang membuktikan kesuburabn iman yang dipuji.

Setelah Rasullullah menerangkan larangan dengki atau hasad, maka diterangkan pula larangan bertipu-tipuan dan berbencian dengan sabdanya yang bermaksud : " Janganlah kamu bertipu-tipuan dan janganlah kamu berbenci-bencian di antara kamu."

Larangan bertipu-tipuan ialah melarang seseorang menaikkan harga barang-barang padahal dia sendiri tidak mahu membelinya untuk menyusahkan orang lain. Perbuatan ini adalah haram. Masuk juga kepada larangan ini segala perbuatan tipu atau kecoh dalam jual beli.

Larangan benci-bencian ialah melarang seseorang membenci dengan menghina orang lain semata-mata menurut dorongan hawa nafsu yang angkuh dan sombong. Perbuatan ini melenyapkan perasaan kasih sayang di antara seorang dengan saudaranya padahal perasaan ini wajib dipelihara dan dipupuk dengan semangat cinta sebagai orang yang percaya kepada Allah. Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud ; " Tidak akan kamu masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak (dikata) buat akan dia nescaya kamu berkasih-kasih ? Iaitu syiarkanlah Islam di antara kamu."

Kemudian Rasullullah menerangkan larangannya dengan sabdanya ; "Janganlah kamu berbelakang-belakangan atau berpaling-palingan ialah melarang perbuatan ini dilakukan oleh seorang semata-mata oleh perkara dunia. Pada hadis yang lain sebagaimana yang disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim, Rasullullah S.A.W. menerangkan :

"Tiada halal bagi seorang Islam bahawa ia meninggal saudaranya (tiada menegurnya) lebih dari tiga hari, bila keduanya bertemu maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang itu pula membelakangi. Dan orang yang lebih baik dari keduanya ialah orang yang memulakan dengan ucapan salam ."

Dan lagi hadis yang lebih keras ancamannya iaitu :

"Barangsiapa meninggalkan saudaranya (tiada menegurnya kerana musuhinya) selama setahun maka ia seperti menumpah darahnya."

Larangan menjual di atas penjualan ialah melarang perbuatan itu dilakukan, kerana akibatnya adalah membawa kepada benci-bencian di antara sesama sendiri. Contohnya : Seperti dua orang yang membeli itu seraya berkata : "Batalkan pembelian engkau ini, aku sanggup menjual kepada engkau barang yang lebih baik mutunya dengan harganya lebih murah dari barang yang engkau beli itu. "

Demikian pula dilarang membeli di atas pembelian orang lain. Contohnya : seperti seorang datang kepada orang yang menjual lalu berkata : "Batalkan penjualan engkau ini. Aku dapat membelinya kelak dengan harga yang lebih tinggi. "

Termasuk kepada larangan ini orang yang menawarkan barang-barangnya kepada seorang yang lain, padahal pada waktu itu ada orang yang sedang menawarnya untuk membelinya. Rasullullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

"Tiada menjual seorang lelaki di atas penjualan saudaranya dan tiada meminang di atas pinangan saudaranya kecuali jika ia izin kepadanya."

Larangan tersebut sebagaimana yang diterangkan oleh hadis adalah am meliputi kepada orang Islam dan kepada orang kafir, demikian menurut pendapat kebanyakan fuqaha kecuali Imam Ahmad dan orang ramai yang mengatakan larangan itu adalah khas kepada orang Islam tidak kepada orang kafir.

Setelah diterangkan segala larangan ini satu persatunya, maka Rasullullah dijelaskan pula keadaan orang Islam dalam pergaulan dengan sabdanya :

Sabdanya ini memberi suatu petunjuk jiwa. Jika mereka mematuhi sepenuhmya segala larangan itu, maka terwujudlah kasih mesra sebagai saudara yang senasib bertanggungjawab untuk kesejahteraan bersama sesuai dengan pengajaran Islam.

2. Orang Islam Saudara Orang Islam

Kemudian Rasullullah menerangkan selanjutnya keadaan sifat orang Islam. Orang Islam adalah saudara orang Islam. Yang demikian, tiadalah boleh dianiayainya, tiada boleh dibiarkannya, tiada boleh didustainya, juga tiada juga dihinanya. Larangan ini wajib dihormati untuk memelihara perpaduan di antara orang Islam yang di akui sebagai saudara.

Orang Islam tiada boleh menganiaya orang Islam, kerana penganiayan bertentangan dengan keperibadiaanya sendiri. Tetapi orang Islam wajib membantu menghindarkan penganiayaan itu serta menolong saudaranya yang berbuat penganiayaan dan saudaranya yang dianiaya ; dan tiada boleh ia membiarkan saudaranya dalam kehinaan dilakukan teradapnya tetapi dikehendaki berikhtiar sekadar yang mungkin bagi melaksanakannya. Mengenai hal ini Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

"Tolonglah saudara engkau, yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Ia berkata : Ya Rasullullah ! Aku pernah menolong orang yang dizalimi, maka bagaimana agaknya aku hendak menolong orang yang zalim ? Ia bersabda : Engkau tegah ia dari melakukan kezaliman, maka yang demikian itu bererti engkau menolong akan dia"

Pada hadis yang lain Rasullullah S.A.W pernah menyatakan "Bahawa barangsiapa yang tiada mahu menolong seseorang mukmin yang dihinakan orang disisinya padahal dia mampu menolongnya, akan dihinakan dia oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat. Sebaliknya pula, orang yang menolong saudaranya dengan cara yang tersembunyi dalam perkara yang ia dapat menolongnya akan ditolongi Allah akan dia dalam dunia dan akhirat.

Juga orang Islam tiada boleh mendustakan saudaranya orang Islam kerana pendustaan menyebabkan hilangnya perasaan kepercayaan. Lebih-lebih lagi pendustaan itu dipercayai oleh saudaranya. Pendustaan seperti ini adalah suatu perkara pengkhianatan, sebagaimana sabda Rasullullah : "Besarlah pengkhianatan bahawa engkau menceritakan kepada saudara engkau suatu cerita yang ia percaya kepada engkau, padahal yang sebenarnya engkau berdusta kepadanya."

Demikian pula orang Islam tiada boleh menghinakan saudaranya orang Islam sama ada dengan perkataan atau tingkah lakunya. Sebab penghinaan bukanlah sikap yang baik dalam persaudaraan, malah sikap inilah yang menimbulkan perbezaan pandangan seseorang dalam pergaulan, dan tumbuhnya adalah dari perasaan sombong yang terselit di hati ; iaitu perasaan memandang kepada diri dengan pandangan yang mulia dan sempurna tidak sebanding dengan orang lain yang dianggap hina susah menderita.

Setelah itu Rasullullah S.A.W mengatakan "Taqwa itu di sini…..sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. Ini adalah memberi isyarat atau petunjuk bahawa kemuliaan manusia di sisi Allah bukanlah dengan cara berlagak, menunjuk diri atau meninggi-ninggi darjat, peribadi, tetapi adalah dengan sifat taqwa, yang mengeluarkannya amal utama dan budi mulia, sekalipun orang taqwa itu dipandang hina dan dikeji."

Akhirnya oleh Rasullullah S.A.W. dijelaskan pula bahawa sudah cukup banyak kejahatan seseorang jika ia merendahkan atau menghinakan orang Islam dengan cara merosakkan keselamatan badannya atau menjatuhkan maruah atau kehormatan atau dengan apa sahaja yang dipandang tiada sopan di luar garisan perikemanusiaan. Dan perbuatan seperti ini adalah haram di atas orang Islam melakukannya, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis tersebut.

Demikianlah beberapa larangan Rasullullah S.A.W kepada setiap orang Islam untuk memelihara kemurnian hidup persaudaraan yang tiada dibatasi oleh kekeluargaan, oleh warna kulit dan keturunan dan oleh kedudukan. Mereka adalah sebagai satu kaum keluarga, satu jiwa, satu hati, satu akidah dan satu ibadat, satu hala dan satu tujuan, satu tempat datang dan satu pula tempat pergi, sakit sama merasa sakit dari senang sama merasa syukur. Benarlah apa yang digambarkan Rasullullah S.A.W dalam sabdanya yang terkenal : "Bandingan orang-orang mukmin dalam bercinta-cinta mereka dan berkasih sayang mereka dan bertolong ,tolongan mereka seperti bandingan satu badan : Apabila sakit satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga) tiada dapat tidur dan demam."

Pada hadis yang lain dijelaskan bahawa "Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."

PETUNJUKNYA :

Bahawa di antara yang ditunjuk oleh hadis yang ketiga puluh lima ini ialah :

1. Hadis ini menunjukkan secara tegas bahawa Rasullullah S.A.W melarang setiap orang melakukan sebarang perbuatan yang mencederakan atau merosak kehormatan saudaranya dari orang Islam. Sebab orang Islam mempunyai kemuliaan dan kehormatan peribadinya, harta miliknya dan maruahnya atau nilai hidupnya, larangan yang ditegaskannya itu ada sebanyak sembilan perkara dalam bidang pergaulan umum dan hubungan perniagaan yang kesemuanya merupakan suatu petunjuk yang sangat berguna kepada orang Islam di segala tempat dan zaman.

2. Juga menunjukkan bahawa orang Islam dalam dunia ini adalah bersaudara kerana ini mana diharamkan ke atas setiap orang Islam mengerjakan suatu yang bertentangan dengan hak persaudaraan itu. Rasullullah dalam hadis tersebut menegaskan perintahnya mengenai hal persaudaraan tersebut iaitu : "Berkata Al-Khurtabi, bahawa erti sabdanya ialah : "Hendaklah kamu menjadi sebagai orang-orang yang bersaudara persaudaraan satu darah keturunana yang diikat oleh rasa sayang, saling cinta menyintai, nasihat-menasihati, bantu membantu serta bertimbang rasa."

Inilah di antara petunjuk hadis yang sangat patut diambil perhatian oleh setiap orang Islam untuk memelihara keteguhan dan keutuhan perpaduan dalam hubungan persaudaraan kerana dengan pemeliharaan ini wujudlah perasaan muhibbah diselubungi oleh suasana aman damai.

Dan inilah pula dasar persaudaraan Islam yang diasas di atas tuntutan agama, serta dipelihara dengan semangat pengajarannya dalam mana perasaan muhibbah yang sejati menjadi terasnya. Maka dengan semangat ini terdapatlah saling hormat menghormati, bantu-membantu, berusaha untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan kejahatan dan ini pula yang menjadi amalan hidup seseorang dalam masyarakatnya. Andaikata, oleh suatu hal seorang itu tidak dapat melaksanakan amalan ini, maka hendaklah dia hidup berdiam diri, tak usahlah mengganggu atau menyusahkan orang lain. Ikutilah pengajaran ini : "Hendaklah engkau pelihara tiga perkara yang menjadi habuan orang mukmin iaitu :

Pertama, jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya maka janganlah engkau menyusahkan dia.

Kedua, jika engkau tidak mahu menyukakan dia maka janganlah engkau mendukakan dia dan ;

Ketiga, jika engkau tidak hendak memuji dia maka janganlah engkau mencela dia Wallahhualam..

Read More......

WASIAT IMAM SYAFI'E

BERAKHLAK MULIA

1.Perbanyaklah Amal Kebaikan

Nafsuku padam tatkala ubun-ubunku menyala. Malamku gelap gelita ketika bintang bersinar terang. Wahai burung hantu yang hinggap di atas ubun-ubunku! Ketika burung gagak terbang dariku, kau kunjungi daku dan kau lihat tubuhku semakin rapuh. Memang setiap tempat yang kau kunjungi bererti itulah tempat-tempat kerapuhan.

Masihkah dapat kunikmati manisnya hidup, meskipun rambutku semakin menipis dan ubanku semakin menyebar, sulit untuk disemir ? Ketika usia senja seseorang telah datang dan rambutnya semakin memutih, hendaknya dia segera menumpas keseronokan serta kekejian hari-harinya dengan kebaikan.

Tinggalkanlah perkara-perkara yang buruk ! Kenapa hal itu haram dilakukan oleh orang yang bertaqwa. Dan tunaikanlah zakat atas kedudukan atau jawatanmu, kerana zakat tersebut sama dengan zakat harta bila telah sampai nisabnya.

Berlaku baiklah kepada orang lain. Kerana dengan begitu, kelak engkau akan dapat menguasai manfaat kepada orang lain.

Jangan berjalan di atas bumi dengan penuh keangkuhan. Ketahuilah bahawa tidak lama lagi bumi ini akan menelanmu.

Barangsiapa sedang mencicipi dunia, di situlah aku pernah merasakan pahit getirnya kehidupan. Bagiku dunia adalah tipu daya dan penuh berisi kedustaan, bagaikan fatamorgana di tengah padang sahara. Dunia tidak ubahnya bagaikan bangkai-bangkai busuk yang hanya anjing-anjing kelaparan yang mahu mendekatinya. Jika engkau menjauhi dunia, kelak engkau akan terselamat dari kekotorannya. Tapi, jika engkau dekati dunia, maka engkau akan diserang oleh anjing-anjingnya.

Berbahagialah orang-orang yang kukuh asas imannya dan menutup diri dalam kesucian jiwa.

2. Akhlak Yang Baik

Jika aku dicaci maki oleh orang yang hina, itu petanda bahawa darjatku akan bertambah. Kerana tidak akan muncul keaiban kecuali akibat perbuatan seseoranng. Jika jiwaku belum menjadi mulia atas dunia akan kutetapkan ia di kalangan orang-orang yang hina. Jika semua usahaku kuniatkan hanya untuk kepentinganku sendiri, maka engkau akan menemukan diriku memiliki banyak kesempatan untuk itu. Tetapi, aku berusaha melakukan sesuatu untuk kepentingan kawan-kawanku. Sungguh merupakan suatu cela atas orang yang kenyang, sementara dia membiarkan kawan-kawannya kelaparan.

Suatu ketika aku pernah mendapat penghinaan dari orang bodoh, namun aku tidak menganggapinya. Dia semakin bodoh, dan aku semakin bijak. Ibarat batang kayu cendana, semakin hangus dibakar, semakin harum baunya. Jika orang-orang bodoh bertutur kata di depanmu, janganlah engkau tanggapi ! Sebaik-baik tanggapan untuk mereka adalah dengan bersikap diam. Jika kau berbicara di hadapan mereka, janganlah sampai terbawa arus pendapat yang diciptakan mereka. Dan jika kau berpaling dari mereka, wajah mereka akan tampak pucat pasi.

3. Jiwa Yang Kerdil

Diriwayatkan oleh Abdullah Al-Asbahani dari Abu Nashr dari Abu Abdillah yang mengatakan bahawa pernah mendengar Imam As-Syafi'I berkata :

"Tumpukan wang dapat membuat orang-orang yang sebelumnya membisu menjadi banyak bicara. Hati mereka tidak pernah mengenali kelebihan orang lain, dan tidak tahu darjat kemuliaan mereka sendiri"

4. Jiwa Yang Mulia

Tercabutnya gigi, seksa di penjara, tercabutnya jiwa, ditolaknya cinta, sejuk yang mencengkam, hukuman gantung, menyamak kulit binatang tanpa sinaran matahari, memakan daging, memburu burung, menanam biji di tanah yang gersang, memadamkan kobaran api, menanggung malu, menjual rumah dengan harga murah, menjual kasut, dan menghadapi keganasan cambukan rotan, semuanya itu masih lebih meminta belas kasihannya.

5. Tiga Penyebab Datangnya Penyakit

Terdapat tiga perkara yang dapat merosak manusia di samping juga dapat menyebabkan orang sihat menjadi sakit. Iaitu membiasakan minum minuman keras , terlalu banyak bersenggama, dan terburu-buru memasukkan makanan ketika di mulut masih ada makanan.

Mestikah kutaburkan permata ke hadapan domba-domba bodoh, atau mestikah aku bersajak di depan pengembala kambing-kambing ?

Sungguh ! Jika hidupku terlantar di negeri ini, aku akan memanfaatkan kata mutiara yang keluar dari penghuninya.

Jika Allah masih menganugerahi aku dengan kasihnya, akan kutemukan orang-orang pandai dan bijak.

Akan kusebarkan ilmuku, dan kumanfaatkan kecintaan mereka. Jika tidak, maka ilmuku akan selalu ku simpan.

Barangsiapa mengajari orang bodoh, akan sia-sia. Barangsiapa melarang orang lain yang berhak mendapat ilmu, zalimlah dia.

6. Meruntuhkan Kehormatan Orang Lain

Wahai orang yang telah menghancurkan kehormatan orang lain, dan yang memutuskan tali kasih sayang, kau akan hidup penuh kehinaan. Jika engkau orang merdeka dan dari keturunan orang yang baik-baik, pastilah engkau tidak akan menodai kehormatan orang lain.

Barangsiapa pandai menimbang orang lain, tentu orang lain akan menimbang dirinya dengan segenap kebaikannya. Cukup sudah bagiku pengajaran dari guruku.

7. Buruk Sangka

Prasangka selalu buruk dan prasangka buruk itu sumber fitnah. Ketika seseorang melemparkan tuduhan dalam keadaan lapar, ia hanya mengungkapkan prasangka baik dan ucapan yang enak didengar.

8. Terimalah Maaf Dengan Tulus

Terimalah permintaan maaf sahabatmu yang melakukan kesalahan, baik ia jujur mengatakannya kepadamu ataupun tidak. Dengan begitu bererti telah taat kepadamu orang yang engkau terima dari segi lahirnya sahaja. Dan telah membuatmu mulia orang yang bermaksiat kepadamu secara sembunyi-sembunyi

9. Permintaan Maaf Sebagai Penebus Dosa

Dikatakan kepadaku "Si polan telah membuatku sedih". Padahal merupakan suatu cela bila seorang pemuda diperhatikan. Ku jawab : "Dia telah datang kepadaku untuk meminta maaf. Dan menurutku permintaan maafnya merupakan penebus dosanya."

10. Diam Membawa Keselamatan

Banyak orang berkata : "Mengapa engkau diam padahal engkau dimusuhi ?" Aku katakana kepada mereka : Menanggapi sesuatu permusuhan sama dengan melakukan kejahatan. Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh atau orang yang gila merupakan kebajikan jiwa. Di dalam sikap diam juga terdapat penjagaan bagi kehormatan. Tidakkah engkau lihat ! Harimau-harimau hutan itu ditakuti dan disegani ketika mereka diam, sedangkan anjing di jalan raya banyak yang dilempari kerana selalu mengonggong.

11. Keutamaan Orang Pendiam

Aku menganggap diam sebagai perniagaan. Meskipun tak ada untungnya, paling tidak aku tak merugi. Diam ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya.

12. Sang Dermawan

Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlaku tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka ? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendirian tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya ? Saat itulah tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, padahal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

13. Ciri-ciri Orang Warak

Seorang yang memiliki sifat warak, tak akan mempedulikan kejelekan orang lain, kerana disibukkan oleh aibnya sendiri, ibarat orang sakit, ia tak mungkin menghiraukan penyakit orang lain, kerana sibuk memperhatikan penyakitnya sendiri.

14. Mengendalikan Nafsu

Yaqut Al-Hamawiy berkata bahawa pada suatu hari ada seorang yang datang kepada Imam Syafi'i seraya membawa lembaran bertulis : "tanyakanlah kepada mufti Mekah dari keturunan Hasyim, apakah yang dia lakukan ketika sedang sangat marah kepada seseorang." Imam Syafi'i lalu menuliskan sesuatu di bawah pertanyaan itu.

Tekanlah nafsunya, kendalikan amarahnya dan hendaklah bersabar dalam menghadapi setiap persoalan.

Pembawa lembaran itu kemudian datang kembali sambil membawa tulisan yang baru sebagai jawapan fatwa Imam Syafi'i.

Bagaimana mungkin dia dapat menekan nafsunya pada saat nafsu itu telah menjadi pembunuh dan setiap hari ada saja halangan yang merintanginya.

Imam Syafi'i menjawab lagi.

Jika dia tidak mahu bersabar atas derita yang menimpanya, maka tidak ada jalan lain baginya, kecuali hidup berhiaskan tanah.

15. Menyimpan Rahsia

Bila seseorang membuka rahsia peribadinya di depan orang banyak, kemudian dia mencela orang lain, maka orang tersebut dianggap tidak waras. Bila dia merasa dadanya sempit akibat rahsia peribadinya, maka ketahuilah bahawa dada tempat menyimpan rahsia tersebut lebih sempit lagi.

16. Hiasan Diri

Jagalah dirimu dan hiasilah dirimu dengan budi pekerti yang mulia ! Nescaya engkau akan hidup sejahtera, dan tutur kata orang-orang terhadapmu akan menjadi indah.

Janganlah memusuhi manusia, kecuali dengan sikap ramah. Nescaya akan ada yang menolongmu dan sahabat akan mengasihimu.

Tidak baik mencintai orang yang berwajah banyak (munafik) kerana ia akan mengikut arah angin ke manapun angin itu bertiup.

Apakah erti banyak kawan jika mereka tidak menolong di waktu kita susah.

17. Sikap Lembut

Aku mengenali banyak orang, tetapi aku tidak pernah merasa dengki kepada mereka. Itulah sebabnya mereka sayang padaku. Bagaimana mungkin seseorang akan berlemah lembut kepada seorang pendengki, bila pendengki itu tidak menghendaki sesuatu apapun selain hilang nikmat dari orang tersebut.

18. Menjaga Diri

Jagalah dirimu baik-baik, nescaya isterimu akan menjaga dirinya dengan baik. Hindari perbuatan keji yang tidak pantas dilakukan oleh seorang muslim. Zina itu ibarat hutang, jika kau lakukan, maka isterimu dan anak-anakmu yang akan membayarnya. Renungkanlah.

19. Menjaga Lidah

Jagalah lidahmu kawan ! Agar ia tidak menyengatmu, kerana lidah tidak ubahnya ular berbisa. Banyak orang binasa akibat perbuatan lidah, padahal dulu mereka dihormati kawan-kawannya.

20. Rahsia Peribadi

Jika hidupmu ingin selamat dari nista, agama mulia, dan hartamu terjaga, jangan sekali-kali engkau buka rahsia peribadi seseorang. Kerana semua orang mempunyai rahsia peribadi, dan mereka juga mempunyai lidah.

Tetapi jika kedua matamu terbeliak mencari keaiban, biarkanlah. Katakan saja : "Hai mataku ketahuilah bahawa semua manusia punya mata." Pergaulilah manusia dengan baik, tampakkan keramahan kepada manusia, dan layanilah mereka denagn baik. "

21. Menilai Diri Sendiri

Nilailah orang yang menilaimu dengan ukuran yang dipakainya waktu ia menilaimu. Siapapun yang datang dan berbaik hati padamu, sambutlah dengan hari lapang, dan siapa saja yang membencimu, layannilah. Kembalikanlah kepada Tuhan, kerana segala sesuatu yang datang kepadamu berasal daripadaNya.

22. Jika Akan Mulia Dengan Hidup Apa Adanya

Kubunuh sifat-sifta tamakku, maka tenanglah jiwaku. Jiwaku akan hina kalau aku tetap tamak. Kuhidupkan rasa puas yang telah lama mati, kerana dengan menghidupkannya harga diri dapat terjaga. Jika sifat rakus bersarang di hati seorang hamba, maka ia akan menjadi orang yang hina dina.

23. Diam Itu Lebih Baik

Tidak ada baiknya banyak bicara jika engkau telah mengetahui inti pembicaraannya. Bagi seseorang pemuda lebih baik diam daripada berbicara yang tidak pada tempatnya. Sebab, seseorang pemuda memiliki watak yang dapat dilihat dari raut mukanya.

24. Pahitnya Menjaga Kebaikan

Jangan engkau fikirkan kebaikan orang yang telah diberikan kepadamu. Pilihlah bahagian yang sesuai untukmu. Bersabarlah ! Sesungguhnya sabar itu perisai diri. Pemberian-pemberian orang lebih berat tanggunggannya di hati dibandingkan tusukan tombak.

25. Berpaling Dari Orang Bodoh

Berpalinglah dari orang-orang yang bodoh, kerana yang dikatakannya bermula dari kebodohannya. Tidak ada bahawa sungai Eufrat yang dalam itu, jika ada anjing yang menyeberanginya.

26. Mata Orang Yang Redha Itu Tumpul Terhadap Kesalahan

Mata orang yang redha seringkali tumpul terhadap semua keaiban. Tapi mata orang yang benci sering kali memusatkan kejelekan. Aku tidak takut kepada orang yang tidak takut kepadaku. Maka cintaku pun akan mendekat kepadanya. Dan jika cintanya menjauhi dariku, maka kita dapat hidup sendiri, apa lagi jika kita telah mati.

Read More......

Nasihat Imam Syafie

Panduan Bersahabat

1.Sahabat Yang Baik

Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.

2.Mencari Sahabat Di Waktu Susah

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Kalau suka melanda, aku sering bertanya…. Siapakah yang sudi menjadi sahabatku? Dikala aku senang, sudah biasa bahawa banyak orang yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah merekapun bertepuk tangan.

3.Pasang-Surut Persahabatan

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tak ubahnya roda zaman yang tak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri dari mereka, mereka mencemuhkan dan jika aku sakit, tak seorangpun yang menjengukku. Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

4.Mengasingkan Diri Lebih Baik Daripada Bergaul Dengan Orang Jahat

Bila tak ketemukan sahabat-sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang-orang jahat.

Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti kuwaspada.

5.Sukarnya Sahabat Sejati

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan dari manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka kelak kamu akan memperolehi kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang-orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan ku janji orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

6.Sahabat Sejati Di Waktu Susah

Kawan yang tak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tak satu negarapun yang penduduknya berhati manusia.

7.Rosaknya Keperibadian Seseorang

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi tipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

8.Menghormati Orang Lain

Barangsiapa menghormati orang lain, tentulah ia akan dihormati. Begitu juga barangsiapa menghina orang lain, tentulah ia akan dihinakan.

Barangsiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barangsiapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

9.Menghadapi Musuh

Ketika aku menjadi pemaaf dan tak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku lewat di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku dari kejahatan.

Aku tampakkan keramahanku, kesopananku dan rasa persahabatanku kepada orang-orang yang kubenci, sebagaimana ku tampakkan hal itu kepada orang-orang yang kucintai.

Manusia adalah penyakit dan penyakit itu akan muncul bila kita mendekati mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

10.Tipu Daya Manusia

Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku, kerana bagiku dunia ini sudah hampa dari manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat, tidak seperti manusia-manusia jahat yang selamanya tak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

11.Tempat Menggantungkan Harapan

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahupun setelah mati.

12.Menjaga Nama Baik

Jika seseorang tak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat sang kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.

Tak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tak sopan. Jika cinta suci tak datang dari tabiatnya, maka tak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal-hal yang kelmarin menjadi rahsia.

Selamat tinggal dunia jika tasnya tidak lagi ada sahabat yang jujur dan menepati janji.

Read More......
Chat Forum : Radio Online By KampungChat.Net Inc!! 2008